Assalamua’alaikum para pembaca sekalian.. diharapkan anda
semua sihat ceria..
Sepanjang bulan September merupakan tempoh yang mendebarkan
bagi pelabur dan peniaga emas termasuklah saya sendiri, sampaikan tidak sempat mengemaskini blog. Ini kerana dalam bulan
ini sahaja, harga emas mencatatkan rekod harga tertinggi dalam sejarah dan juga penurunan ataupun kejatuhan harga yang agak mengejutkan walaupun
telah diramal.
Rekod kenaikan harga tertinggi dan kejatuhan merudum |
Hakikat bahawa harga emas ada naik turun telah terbukti. Ini
kerana emas tidak terkecuali dari fitrah alam semulajadi. Bagi pelabur emas, semasa harga
turun pun Alhamdulillah masih boleh tersenyum kerana masih boleh membuat
keuntungan. Tentu ramai yang tertanya-tanya betul ke boleh untung? Jawapannya :
Ya. Dengan menggunakan teknik pajak.
Setelah harga emas mendaki hingga ke puncak pada 22 Ogos
yang lalu, ia telah mencatatkan kenaikan yang menakjubkan sekitar 44% dalam
tahun 2011 dan walaupun selepas jatuh terguling-guling baru-baru ini, logam
bernilai tersebut masih 22% lebih tinggi daripada harga Januari 2011.
Laporan akhbar yang merisaukan orang ramai |
Melalui pemerhatian dan bacaan dari penganalisis pasaran, di sini saya senaraikan
beberapa faktor penyumbang ke arah kejatuhan harga emas.
- Teknikal Pasaran
Memandangkan kenaikan pantas emas dan perak pada separuh
pertama 2011, harga logam tersebut terpaksa mengalami pembetulan atau istilah
yang tepat ‘correction’. Pasaran tidak pernah naik dalam garis lurus dan
seringkali pergerakan menurun terbesar berlaku dalam setiap trend harga menaik.
Pergerakan mendadak ini adalah perkara biasa dalam emas, terutamanya dalam
tempoh jangka panik kewangan yang berlaku secara global.
- Risiko kemelesetan
Peranan spekulasi amat besar dalam gelombang arus ekonomi
dunia. Spekulasi bahawa perubahan dramatik dalam keperluan terhadap keuntungan
segera sengaja dirancang untuk melemahkan keyakinan dalam emas sebagai aset
pelindung nilai yang selamat. Walaupun emas boleh diramal jatuh di dalam keadaan
sebegini namun sekiranya kemelesetan ekonomi berlaku berkemungkinan akan
disertai oleh inflasi yang tinggi dan risiko kejatuhan mata wang. Bagi pelabur
yang memahami logik ini, logam berharga masih lagi sangat menarik.
- Kecairan wang
Keperluan terhadap kecairan wang segera bagi pelabur gergasi
global juga memainkan peranan. Ini kerana untuk mengimbangi kerugian yang telah dialami dalam pasaran ekuiti dan saham yang mengalami kejatuhan teruk
dalam bulan Ogos. Dalam erti kata lain, pelabur gergasi hanya cuba untuk
menutup lubang mereka tidak melabur
untuk jangka masa panjang.
- Kekuatan matawang Dollar US
Berdasarkan rekod-rekod yang lepas, mata wang Dollar Amerika
Syarikat (USD) telah mendapat kekuatan di ambang kelembapan ekonomi. Ini telah
meletakkan tekanan pada harga komoditi khususnya logam emas dan perak. Namun
pakar ekonomi percaya bahawa kekuatan dolar adalah satu fenomena sementara
selagi AS tidak mampu menyelesaikan krisis hutang yang bernilai trillion dolar.
- Campur tangan bank pusat
Bank-bank pusat negara gergasi ekonomi telah lama malu
dengan harga emas yang mendedahkan penurunan nilai mata wang mereka secara
diam-diam. Bank-bank pusat negara penghutang utama dengan Tabung Kewangan
Antarabangsa (IMF) melalui campur tangan IMF sendiri telah diminta untuk mengawal
turun naik pasaran semasa demi menghapuskan persepsi bahawa logam emas dan
perak boleh menjadi penyimpan kekayaan yang unggul.