Aug 23, 2011

Harga emas terus tinggi

Keratan akhbar hari ini

Assalamu'alaikum para pembaca sekalian.

Hari ini sempat juga saya membelek  akhbar Berita Harian dan terdapat satu artikel berita yang semestinya menarik berkaitan emas untuk saya kongsikan bersama anda.


Harga emas terus melonjak ke paras tertingginya dalam sejarah iaitu pada AS$1,888.90 seaun atau kira-kira RM180 segram semalam berikutan kebimbangan berterusan kemungkinan ekonomi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kemelesetan berganda, di samping krisis hutang di Eropah yang semakin meruncing. 

Keadaan pasaran yang tidak menentu ketika ini menggalakkan pelabur memilih untuk melabur dalam logam berharga itu kerana ia antara pelaburan lindung nilai yang terbaik ketika krisis ekonomi. Ketua Penyelidik Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata pihaknya menjangkakan harga emas bakal mencecah paras AS$1,900 seaun dalam tempoh terdekat berikutan kelemahan dolar AS secara berterusan dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi sekali lagi di AS.

Beliau berkata, pihaknya juga melihat harga emas mempunyai potensi untuk mencecah paras AS$2,000 seaun menjelang akhir tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap logam berharga itu kerana pelabur lebih gemar melabur dalam emas ketika ketidaktentuan pasaran dunia. 

“Penurunan penarafan hutang AS menggalakkan pemegang bon AS menjual pegangan masing-masing dan membeli emas. Kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi baru di AS serta kelemahan dolar juga mendorong harga emas untuk melonjak ke paras tertinggi,” katanya kepada Berita Harian semalam. 

Kebanyakan penganalisis pasaran sebelum ini menjangkakan permintaan bagi emas akan terus meningkat pada masa depan terutama dari China dan India didorong peningkatan pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu. 

Mereka melihat keadaan tidak menentu di AS dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing. 

“Prospek ekonomi AS yang malap berserta data ekonomi yang lemah ditambah krisis hutang Eropah yang semakin meruncing telah mendorong harga emas terus melonjak lebih daripada sukuan sejak Julai lalu,” jelas seorang penganalisis pasaran. 

“Kami tidak melihat sebarang faktor positif yang dapat menyokong ekonomi AS dalam tempoh beberapa bulan ini,” tambahnya. 

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya. 

Sekian.

- Sumber : Berita Harian

Aug 18, 2011

Amerika dan Eropah menuju kemelesetan?

Assalamu'alaikum pembaca sekalian.


Pada kali ini saya akan cuba paparkan berkenaan dengan isu ekonomi di mana ianya memainkan peranan dalam naik turun harga emas dunia, atau juga dipanggil sebagai 'fundamental factor'.


Terdapat satu laporan yang hangat terhadap ekonomi global dari Morgan Stanley; khususnya mengenai Amerika Syarikat dan Eropah menyatakan bahawa pasaran saham dunia merudum pada hari ini, Khamis.




Sedikit info untuk dikongsi bersama, sebut sahaja Morgan Stanley memang nama besar dalam dunia ekonomi dan merupakan sebuah firma perkhidmatan kewangan global dan peneraju pasaran dalam sekuriti, pengurusan aset dan perkhidmatan kredit. 


Pasaran saham Eropah seperti Jerman, UK dan Perancis dengan mendadaknya lebih rendah dalam dagangan pada waktu pagi. Begitu juga dengan Amerika Syarikat dan Asia.






LIhat saja carta di atas menunjukkan indeks pasaran Dow Jones jatuh merudum pada hari ini.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa Amerika Syarikat dan Eropah yang "secara bahaya hampir" kepada kemelesetan ekonomi dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang. Ia berkata "kesilapan dasar" di kedua-dua gergasi ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah telah membawa kepada turun penarafan global.

Tetapi Morgan Stanley juga berkata kemelesetan ekonomi tersebut tidak akan seteruk situasi yang telah melumpuhkan ekonomi dunia pada tahun 2008, sambil menambah bahawa isi rumah, badan korporat dan kunci kira-kira bank berada dalam keadaan lebih baik dan stabil sekarang dan bahawa bank-bank pusat mempunyai dasar pinjaman yang lebih longgar.


Maka dengan situasi ekonomi sebeginilah yang menjadi faktor utama kepada kenaikan harga emas di pasaran antarabangsa di mana para pelabur mula beralih arah kepada portfolio yang lebih terjamin iaitu emas sekaligus menyebabkan harga emas melambung tinggi.


Sumber : http://money.cnn.com


Sekian dari saya yang bukannya arif sangat tetapi sekadar berkongsi setakat apa yang saya tahu. 


Wallahu A'alam.

Aug 14, 2011

EMAS Adalah Simbol Kekayaan Sebenar


Assalamu'alaikum para pembaca sekalian,


Pernyataan tersebut di atas sememangnya fakta, dan dikukuhkan lagi dengan beberapa faktor.

Mengapa EMAS Adalah Simbol Kekayaan Sebenar!



  1. Sukar diperolehi
  2. Emas tidak boleh dibinasakan
  3. Warna kuning keemasan yang sangat menarik dan tidak luntur 
  4. Harga emas sentiasa meningkat dalam jangka masa panjang
  5. Aset yang terunggul
  6. Ia tidak boleh dimanipulasikan
  7. Nilai yang terpelihara dan kekal
Sukar Diperolehi – Sememang nya emas amat sukar untuk diperolehi. Ianya adalah sumber mineral dan hasil perut bumi dan ianya tidak boleh dicipta untuk menambah bilangan emas. Ianya bukan barang yang boleh dibuat dihasilkan dengan kepandaian manusia melainkan hanya untuk memproses untuk menjadikan ianya produk emas. Ini kerja Allah yang Maha Berkuasa.

Tidak Boleh Dibinasakan – Sebagaimana sukar untuk memperolehinya, begitu juga dengan kesukaran untuk memusnahkannya. Adakah emas boleh dibakar dengan suhu panas biasa? Adakah ianya larut di dalam air? Adakah emas luntur warnanya? Tidak bukan… Jadi ianya terbukti tahan dan kalis musnah.

Warna Kuning Keemasan - Lihat sahaja warnanya ianya sudah melambangkan kemewahan. Bahkan Raja-Raja pun banyak menggunakan warna kuning emas ini sebagai tanda kedaulatan dan kekayaan negeri.

Harga Emas Yang Meningkat – Harga emas akan meningkat sebanyak purata 40% dari tahun ke tahun. Tak percaya boleh Google! Untuk info, kenaikkan emas pada tahun 2010 ialah 27%.

Aset Yang unggul - Jika anda membeli emas dengan kiraan satu Dinar, maka pada masa hadapan anda masih lagi memiliki nilai emas 1 Dinar. Ianya akan tetap berkilau, diterima dan tiada mata wang dunia yang tidak tertakluk oleh emas!

Sukar Untuk Dimanipulasi - Andaikata matawang, ianya amat mudah untuk dimanipulasi. Jika masih ingat bagaimana matawang Ringgit kita dipermainkan sehingga pada satu tahap jatuh kepada RM4.50 berbanding dollar. Tetapi tidak pada emas. Emas tidak boleh dicetak, beli secara melampau dan menjual sesuka hati dengan tujuan manipulasi. Bagaimana hendak membeli emas secara banyak jika penghasilannya terhad? Ianya tidak sama sekali lemah seperti matawang.

Nilai Terpelihara
 – Macam yang saya katakan tadi nilai emas adalah unggul dan tidak boleh dimanipulasikan. Sekaligus menjadikan ianya komoditi terpelihara nilainya. Emas adalah absolutely AMAZING and UNBEATABLE!



Sebenarnya ada banyak lagi keistimewaan emas cuma saya paparkan sebahagian yang utama sahaja.


Sekian. Wallahu A'alam


Aug 13, 2011

Fahami pelbagai kos jual beli emas



EMAS sentiasa menjadi topik pelaburan yang hangat, lebih-lebih lagi selepas kita melihat harga emas melonjak dalam tempoh dua tahun lepas. Harga emas telah naik sebanyak 60 peratus dalam tempoh dua tahun lepas dan lebih 150 peratus dalam tempoh empat tahun lepas. Sebab itulah emas kini mendapat perhatian ramai.
Soalnya apakah cara terbaik untuk meraih keuntungan daripada emas? Terdapat pelbagai cara anda boleh melabur dalam emas. Anda boleh membeli emas dalam bentuk fizikal seperti  jongkong emas atau syiling emas. Syiling emas contohnya, Kijang Emas, mungkin lebih popular di Malaysia. Apabila membeli syiling emas, bank akan menyebut harga belian dan harga jualan. Inilah harga di mana bank akan membeli emas daripada anda atau menjual emas kepada anda. Dua harga ini adalah berbeza dan inilah kos anda untuk memiliki emas.
Sebagai contoh, untuk satu auns emas, harga jualan ialah RM5,571 bagi Kijang Emas. Inilah harga satu auns Kijang Emas yang dijual oleh bank kepada anda. Harga belian balik ialah RM5,352 bagi satu auns Kijang Emas. Inilah harga bank akan membeli balik satu auns Kijang Emas daripada anda, atau dengan kata lain, anda akan menjual balik barang kemas anda pada harga ini. Jika anda mahu membeli emas, anda boleh berbuat demikian pada harga RM5,571 dan menjualnya pada RM5,352. Perhatian bahawa terdapat perbezaan 4.0 peratus antara kedua-dua harga ini. Jika anda membeli Kijang Emas, katakan pada harga RM5,571, anda perlu menunggu harga belian balik RM5,352 untuk naik melebihi harga belian RM5,571 untuk meraih untung. Oleh itu ada baiknya meninjau sama ada terdapat harga jualan dan belian yang lebih baik.
Pilihan seterusnya anda boleh membeli barangan kemas dari kedai emas. Kaedah ini menjadi pilihan utama di Timur Tengah dan Asia. Umumnya terdapat harga emas runcit yang ditetapkan oleh Persekutuan Tukang Emas dan Persatuan Jauhari Malaysia (www.fgjam.org.my) yang memberikan panduan tentang kadar emas yang ditawarkan oleh kedai emas. Anda perlu ingat bahawa barangan kemas berhubung kait dengan arah hala dan terdapat bahagian tertentu kos barangan kemas yang berkaitan dengan kerja pertukangan.
Jika barangan kemas dileburkan, anda mungkin kehilangan nilai kos berkait dengan kerja ketukangan tersebut, kerana nilai akhir yang dikira adalah hanya berasaskan nilai emas.
Selain itu adalah sukar untuk mengesahkan kandungan emas. Jadi nilai barangan kemas anda mungkin tidak mudah dan sukar ditentukan secara konsisten. Anda juga perlu mempertimbangkan faktor simpanan, sebagai contoh, menyewa peti besi atau peti simpanan selamat jika anda mempunyai jumlah emas yang besar.
Satu lagi cara yang semakin popular sejak dua tahun lepas ialah akaun buku simpanan emas. Apabila anda membuka akaun tersebut, anda akan diberikan buku simpanan.
Ia berfungsi sama seperti akaun simpanan. Apabila gaji anda dikreditkan ke dalam akaun simpanan, anda tidak memegang tunai secara fizikal sehingga anda mengeluarkannya daripada ATM.
Oleh sebab terdapat pelbagai kaedah untuk membeli emas, anda perlu memahami kos menjual beli emas. Satu lagi, emas diniagakan dalam dolar Amerika, dengan itu terdapat risiko tukaran asing bagi pelabur yang membeli emas dalam mata wang lain, seperti Ringgit Malaysia (RM).
Sebarang keputusan melabur dalam emas hendaklah dibuat untuk jangka panjang. Berdasarkan pergerakan pasaran saham, emas memberikan perlindungan terhadap ketidaktentuan global. Selain itu, emas merupakan pelindung nilai yang baik terhadap inflasi. Justeru, emas merupakan kelas aset yang patut dipertimbangkan. Bertindaklah sekarang!